Sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, tulisan Arab yang
diadaptasikan pengejaannya ke bahasa Melayu dinamakan sebagai tulisan Jawi.
Tulisan Jawi memiliki signifikan yang sangat besar dalam sejarah bangsa dan
negara. Hal ini kerana tulisan jawi merupakan alat interaksi yang digunakan
secara meluas oleh intelek Melayu dengan masyarakat awam ketika itu. Jika
pemerkasaan terhadap tulisan Jawi tidak lakukan, barangkali tulisan Jawi
menerima nasib yang sama sebagaimana mata pelajaran Tajwid yang menjadi subjek
agama yang hanya diajar sewaktu peringkat Sekolah Rendah Agama (SRA), kemudian
diabaikan ketika di peringkat menengah. Natijahnya ilmu Tajwid hanya dikuasai
oleh generasi-generasi qurani yang tergolong daripada lapisan hafiz dan hafizah
sahaja, sedangkan mengamalkan ilmu Tajwid ketika membaca al-Quran merupakan
tuntutan Islam bertaraf fardhu ain buat seluruh umat Islam.
Kenyataan pahit yang harus ditelan saat ini, tulisan Jawi
telah tenggelam di arus kemodenan dan kehilangan khalayak. Tulisan Jawi sudah
tidak lagi relevan kerana tidak mempunyai nilai komersial dalam kalangan
pembaca. Melayu umumnya tidak mengenal apa itu Jawi kecuali ia difahami sebagai
akronim kepada Jabatan Agama Islam Wilayah.
Lanjutan dari hal itu, tulisan Jawi sekadar dikenali dalam
lipatan sejarah sebagaimana pada catatan rahsia batu “Rosetta” di Mesir yang
hanya mampu diungkap oleh arkeologi Perancis, Jean Francois Champollion. Jika
masyarakat Melayu kehilangan kudrat untuk membaca tulisan Jawi saat ini, adakah
kita mahu meminta Champollion ke-II membaca tulisan Jawi pada masa akan datang?
Tidak dinafikan lagi, Islam adalah ajaran yang mudah dan
boleh dipelajari melalui pelbagai aksara, dan huruf bukannya ukuran tahap
keimanan seseorang. Namun, oleh sebab kedatangan tulisan Jawi bersama dengan
dakwah Islam, ia lebih berkesan dan mudah terutamanya di dalam mempelajari
al-Quran. Sistem ejaan Jawi sangat terpengaruh dengan sistem ejaan bahasa Arab
yang menggunakan sistem pengejaan suku kata. Oleh sebab itu, sistem Jawi
menjadi pendorong kepada bangsa Melayu mengenali huruf Arab dan seterusnya
secara tidak langsung berkemahiran menyebut ayat-ayat al-Quran.
Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah ada menyebutkan, "Ketahuilah bahawa pengajaran al-Quran terhadap kanak-kanak termasuk daripada syiar agama yang dipegang oleh para pendokong agama kerana dalam pengajaran al-Quran terdapat beberapa perkara yang cepat meresap ke dalam hati seperti keteguhan iman dan akidah iman daripada ayat-ayat al-Quran."
Dalam bahasa Melayu sendiri, terdapat perkataan yang
dipinjam daripada bahasa Arab, sudah pasti sebutan tersebut tidak tepat jika
ditulis dengan huruf rumi. Demikian juga halnya jika bahasa Cina dan Tamil
ditulis dengan ejaan rumi, sudah pasti berlaku kesilapan pada pertuturan mereka
yang sebenar. Konteks ini jelas memperlihatkan bahawa tulisan Jawi memainkan
peranan penting dalam pendidikan Islam, yakni dijadikan sebagai suatu alat
memudahkan sebutan Arab yang sahih dalam bahasa Melayu
Dalam keresahan meninjau hayat Jawi di Tanah Melayu saat ini, ada juga berita yang boleh dianggap positif antaranya pengangkatan seni khat di persada dunia. Namun, memartabatkan seni khat tidak memadai untuk mengangkat semula penulisan Jawi sebagai satu elemen menjadikan ia subur dalam jiwa masyarakat dan dipergunakan secara meluas.
Benar, seni khat berjaya memperlihatkan kalimah-kalimah unik al-Quran yang tersusun atau mengikut kaedah dan seni. Tetapi kita perlu memikirkan bahawa majoriti umat Melayu tidak lagi mampu memahami maksud tulisan tersebut sekalipun diukir indah. Inilah akibatnya apabila tulisan Jawi dipinggirkan oleh bangsa Melayu sendiri.
No comments:
Post a Comment