Thursday 18 April 2013

Tulisan Jawi Khazanah Yang Semakin Pupus


Sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, tulisan Arab yang diadaptasikan pengejaannya ke bahasa Melayu dinamakan sebagai tulisan Jawi. Tulisan Jawi memiliki signifikan yang sangat besar dalam sejarah bangsa dan negara. Hal ini kerana tulisan jawi merupakan alat interaksi yang digunakan secara meluas oleh intelek Melayu dengan masyarakat awam ketika itu. Jika pemerkasaan terhadap tulisan Jawi tidak lakukan, barangkali tulisan Jawi menerima nasib yang sama sebagaimana mata pelajaran Tajwid yang menjadi subjek agama yang hanya diajar sewaktu peringkat Sekolah Rendah Agama (SRA), kemudian diabaikan ketika di peringkat menengah. Natijahnya ilmu Tajwid hanya dikuasai oleh generasi-generasi qurani yang tergolong daripada lapisan hafiz dan hafizah sahaja, sedangkan mengamalkan ilmu Tajwid ketika membaca al-Quran merupakan tuntutan Islam bertaraf fardhu ain buat seluruh umat Islam.


 Kenyataan pahit yang harus ditelan saat ini, tulisan Jawi telah tenggelam di arus kemodenan dan kehilangan khalayak. Tulisan Jawi sudah tidak lagi relevan kerana tidak mempunyai nilai komersial dalam kalangan pembaca. Melayu umumnya tidak mengenal apa itu Jawi kecuali ia difahami sebagai akronim kepada Jabatan Agama Islam Wilayah.


Lanjutan dari hal itu, tulisan Jawi sekadar dikenali dalam lipatan sejarah sebagaimana pada catatan rahsia batu “Rosetta” di Mesir yang hanya mampu diungkap oleh arkeologi Perancis, Jean Francois Champollion. Jika masyarakat Melayu kehilangan kudrat untuk membaca tulisan Jawi saat ini, adakah kita mahu meminta Champollion ke-II membaca tulisan Jawi pada masa akan datang?

Tidak dinafikan lagi, Islam adalah ajaran yang mudah dan boleh dipelajari melalui pelbagai aksara, dan huruf bukannya ukuran tahap keimanan seseorang. Namun, oleh sebab kedatangan tulisan Jawi bersama dengan dakwah Islam, ia lebih berkesan dan mudah terutamanya di dalam mempelajari al-Quran. Sistem ejaan Jawi sangat terpengaruh dengan sistem ejaan bahasa Arab yang menggunakan sistem pengejaan suku kata. Oleh sebab itu, sistem Jawi menjadi pendorong kepada bangsa Melayu mengenali huruf Arab dan seterusnya secara tidak langsung berkemahiran menyebut ayat-ayat al-Quran.


Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah ada menyebutkan, "Ketahuilah bahawa pengajaran al-Quran terhadap kanak-kanak termasuk daripada syiar agama yang dipegang oleh para pendokong agama kerana dalam pengajaran al-Quran terdapat beberapa perkara yang cepat meresap ke dalam hati seperti keteguhan iman dan akidah iman daripada ayat-ayat al-Quran."



 Dalam bahasa Melayu sendiri, terdapat perkataan yang dipinjam daripada bahasa Arab, sudah pasti sebutan tersebut tidak tepat jika ditulis dengan huruf rumi. Demikian juga halnya jika bahasa Cina dan Tamil ditulis dengan ejaan rumi, sudah pasti berlaku kesilapan pada pertuturan mereka yang sebenar. Konteks ini jelas memperlihatkan bahawa tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam pendidikan Islam, yakni dijadikan sebagai suatu alat memudahkan sebutan Arab yang sahih dalam bahasa Melayu


Dalam keresahan meninjau hayat Jawi di Tanah Melayu saat ini, ada juga berita yang boleh dianggap positif antaranya pengangkatan seni khat di persada dunia. Namun, memartabatkan seni khat tidak memadai untuk mengangkat semula penulisan Jawi sebagai satu elemen menjadikan ia subur dalam jiwa masyarakat dan dipergunakan secara meluas. 


Benar, seni khat berjaya memperlihatkan kalimah-kalimah unik al-Quran yang tersusun atau mengikut kaedah dan seni. Tetapi kita perlu memikirkan bahawa majoriti umat Melayu tidak lagi mampu memahami maksud tulisan tersebut sekalipun diukir indah. Inilah akibatnya apabila tulisan Jawi dipinggirkan oleh bangsa Melayu sendiri.


No comments: