Wednesday 17 April 2013

Pembudayaan Tulisan Jawi

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah melaksanakan 102 program dan aktiviti di samping lima penerbitan bertunjangkan tulisan jawi bagi menyemarak dan melestari pembudayaan tulisan jawi di negara ini.

 Ketua Setiusaha KPKK, Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf berkata, pelaksanaan program ini bukan setakat memertabatkan penggunaan tulisan jawi sebagai tulisan warisan bangsa malah bertujuan memantapkan pelestarian tulisan ini dalam jati diri bangsa Melayu. 

Katanya penerbitan yang dicetak dan diedarkan kepada masyarakat ialah buku tatih jawi, majalah semarak jawi, perisian k-jawi dan akhbar jawi Utusan Melayu di samping program lain seperti persidangan, bengkel klinik dan pameran tulisan serta aktiviti berskala kecil iaitu menulis esei, pantun jawi dan pertandingan mewarna jawi.

 “Program pembudayaan bukan saja tertumpu kepada karnival semata-mata sebaliknya turut melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian untuk semua peringat umur dan bangsa,” katanya ketika merasmikan Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dato’ Raslin Abu Bakar.

Turut hadir Pengarah Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Haji Wan Mohd Zaki Wan Abdullah; Pengarah Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Haji Mohamad Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

No comments: