Thursday 18 April 2013

Tulisan Jawi Khazanah Yang Semakin Pupus


Sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, tulisan Arab yang diadaptasikan pengejaannya ke bahasa Melayu dinamakan sebagai tulisan Jawi. Tulisan Jawi memiliki signifikan yang sangat besar dalam sejarah bangsa dan negara. Hal ini kerana tulisan jawi merupakan alat interaksi yang digunakan secara meluas oleh intelek Melayu dengan masyarakat awam ketika itu. Jika pemerkasaan terhadap tulisan Jawi tidak lakukan, barangkali tulisan Jawi menerima nasib yang sama sebagaimana mata pelajaran Tajwid yang menjadi subjek agama yang hanya diajar sewaktu peringkat Sekolah Rendah Agama (SRA), kemudian diabaikan ketika di peringkat menengah. Natijahnya ilmu Tajwid hanya dikuasai oleh generasi-generasi qurani yang tergolong daripada lapisan hafiz dan hafizah sahaja, sedangkan mengamalkan ilmu Tajwid ketika membaca al-Quran merupakan tuntutan Islam bertaraf fardhu ain buat seluruh umat Islam.


 Kenyataan pahit yang harus ditelan saat ini, tulisan Jawi telah tenggelam di arus kemodenan dan kehilangan khalayak. Tulisan Jawi sudah tidak lagi relevan kerana tidak mempunyai nilai komersial dalam kalangan pembaca. Melayu umumnya tidak mengenal apa itu Jawi kecuali ia difahami sebagai akronim kepada Jabatan Agama Islam Wilayah.


Lanjutan dari hal itu, tulisan Jawi sekadar dikenali dalam lipatan sejarah sebagaimana pada catatan rahsia batu “Rosetta” di Mesir yang hanya mampu diungkap oleh arkeologi Perancis, Jean Francois Champollion. Jika masyarakat Melayu kehilangan kudrat untuk membaca tulisan Jawi saat ini, adakah kita mahu meminta Champollion ke-II membaca tulisan Jawi pada masa akan datang?

Tidak dinafikan lagi, Islam adalah ajaran yang mudah dan boleh dipelajari melalui pelbagai aksara, dan huruf bukannya ukuran tahap keimanan seseorang. Namun, oleh sebab kedatangan tulisan Jawi bersama dengan dakwah Islam, ia lebih berkesan dan mudah terutamanya di dalam mempelajari al-Quran. Sistem ejaan Jawi sangat terpengaruh dengan sistem ejaan bahasa Arab yang menggunakan sistem pengejaan suku kata. Oleh sebab itu, sistem Jawi menjadi pendorong kepada bangsa Melayu mengenali huruf Arab dan seterusnya secara tidak langsung berkemahiran menyebut ayat-ayat al-Quran.


Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah ada menyebutkan, "Ketahuilah bahawa pengajaran al-Quran terhadap kanak-kanak termasuk daripada syiar agama yang dipegang oleh para pendokong agama kerana dalam pengajaran al-Quran terdapat beberapa perkara yang cepat meresap ke dalam hati seperti keteguhan iman dan akidah iman daripada ayat-ayat al-Quran."



 Dalam bahasa Melayu sendiri, terdapat perkataan yang dipinjam daripada bahasa Arab, sudah pasti sebutan tersebut tidak tepat jika ditulis dengan huruf rumi. Demikian juga halnya jika bahasa Cina dan Tamil ditulis dengan ejaan rumi, sudah pasti berlaku kesilapan pada pertuturan mereka yang sebenar. Konteks ini jelas memperlihatkan bahawa tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam pendidikan Islam, yakni dijadikan sebagai suatu alat memudahkan sebutan Arab yang sahih dalam bahasa Melayu


Dalam keresahan meninjau hayat Jawi di Tanah Melayu saat ini, ada juga berita yang boleh dianggap positif antaranya pengangkatan seni khat di persada dunia. Namun, memartabatkan seni khat tidak memadai untuk mengangkat semula penulisan Jawi sebagai satu elemen menjadikan ia subur dalam jiwa masyarakat dan dipergunakan secara meluas. 


Benar, seni khat berjaya memperlihatkan kalimah-kalimah unik al-Quran yang tersusun atau mengikut kaedah dan seni. Tetapi kita perlu memikirkan bahawa majoriti umat Melayu tidak lagi mampu memahami maksud tulisan tersebut sekalipun diukir indah. Inilah akibatnya apabila tulisan Jawi dipinggirkan oleh bangsa Melayu sendiri.


Wednesday 17 April 2013

KERATAN AKHBAR

(Berita Harian 17 Ogos 2005)

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan memperhebatkan kempen dan galakan membaca serta menulis jawi kepada semua peringkat usia di negeri ini secara berperingkat. Sebagai langkah permulaan, semua agensi kerajaan yang mengeluarkan akhbar dan majalah bulanan jabatan diminta menyelitkan berita satu atau dua muka bertulisan Jawi.

Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata penggunaan tulisan Jawi di kalangan rakyat di negeri  ini semakin kurang dan ada antara penduduk terutama remaja tidak tahu menulis serta membaca tulisan itu. Katanya, kerajaan negeri juga mencadangkan semua agensi kerajaan pusat dan negeri serta anak syarikat kerajaan negeri menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda ataupun kain pemidang.

“Kita juga akan memperbanyakkan tulisan Jawi pasa papan tanda jalan, masjid dan tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. “Penggunaan tulisan Jawi pada papan tandadan kain pemidang sesuatu majlus akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya ketika melancarkan majalah Al-Fikrah terbitan majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), di sini, kelmarin.
Hadir sama pada sama majlis pelancaran majalah pertama terbitan Maidam ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhatar Abdullah: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari, Wan Mohd Wan Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Datuk Alwi Muhamad. Idris berkata, penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda masjid, pasar dan kawasan tumpuan orang ramai serta nama beberapa jalan di negeri ini sudah dilaksanakan lebih setahun lalu.

“Itulah cara terbaik  kerajaan negeri mendidik rayat terutama remaja supaya boleh membaca dan menulis Jawi. “Apabila mereka fasih dan menulis Jawi, secara sendiriannya mereka lebih mudah untuk membaca al-Quran,” katanya. Idris berkata, kaedah digunakan kerajaan  negeri untuk mendidik rakyat terutama remaja supaya fasih membaca dan menulis Jawi adalah yang terbaik dan di kagumi beberapa negeri lain. Dalam perkembangan lain, Alwi berkata, pihaknya sengaja menerbitkan majalah Al-Fikrah menggunakan sepenuhnya bahasa Jawi kerana menyedari rakyat semakin sukar untuk mendapatkan bahan bacaan termasuk majalah ataupun akhbar tulisan Jawi.
“Kita akan edarkan majalah yang dijangka dikeluarkan tiga bulan sekali di semua jabatan kerajaan, masjid, perpustakaan awam dan semua perpustakaan sekolah. “ Buat permulaan, 3,000 naskhah majalah yang memuatkan berita mengenai sejarah Islam di negeri ini, sejarah masjid dan aktiviti Maidam akan dikeluarkan,” katanya.
 

Pembudayaan Tulisan Jawi

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah melaksanakan 102 program dan aktiviti di samping lima penerbitan bertunjangkan tulisan jawi bagi menyemarak dan melestari pembudayaan tulisan jawi di negara ini.

 Ketua Setiusaha KPKK, Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf berkata, pelaksanaan program ini bukan setakat memertabatkan penggunaan tulisan jawi sebagai tulisan warisan bangsa malah bertujuan memantapkan pelestarian tulisan ini dalam jati diri bangsa Melayu. 

Katanya penerbitan yang dicetak dan diedarkan kepada masyarakat ialah buku tatih jawi, majalah semarak jawi, perisian k-jawi dan akhbar jawi Utusan Melayu di samping program lain seperti persidangan, bengkel klinik dan pameran tulisan serta aktiviti berskala kecil iaitu menulis esei, pantun jawi dan pertandingan mewarna jawi.

 “Program pembudayaan bukan saja tertumpu kepada karnival semata-mata sebaliknya turut melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian untuk semua peringat umur dan bangsa,” katanya ketika merasmikan Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dato’ Raslin Abu Bakar.

Turut hadir Pengarah Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Haji Wan Mohd Zaki Wan Abdullah; Pengarah Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Haji Mohamad Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.